Wednesday, 16 December 2015

Patut kita tahu

Kos pengurusan jenazah patut dan harus diambil tahu oleh semua. Ia penting supaya dapat melakukan persediaan dan tidak membebankan pihak terlibat terutama kaum keluarga apabila kematian itu berlaku. Kalau boleh, setiap keluarga mesti ada simpanan khas untuk tampun kos pengurusan jenazah bagi setiap ahli keluarga. Kematian itu pasti, dan proses menguruskan jenazah itu adalah perlu.

Saya ingin kongsikan kepada semua mengenai kos pengurusan jenazah yang perlu ditanggung. Kos pengurusan jenazah ini berbeza mengikut tempat, keadaan dan juga peringkat umur. Namun, saya cuba untuk menyenaraikan secara am kos jenazah yang harus diambil tahu, dan seboleh-bolehnya disediakan.

Kos Pengurusan Jenazah Harus Ambil Tahu

Secara amnya, kos menguruskan jenazah Islam dewasa adalah dari RM800 - RM1500; dan kos menguruskan jenazah bagi kanak-kanak adalah bermula dari RM500 hingga RM600 ke bawah. Dan seperti saya katakan tadi, kos ini berbeza mengikut tempat atau khariah di mana jenazah itu diuruskan kematiannya.

Kain Kapan, Kapas, Air Mawar, Sabun, Minyak Wangi, Kapur Barus, Kayu Cendana, Akar Sintok, Sejadah dan yang berkaitan - kos dianggarkan dari RM150 - RM250. Harga ini berbeza mengikut tempat bersandarkan keberolehan bahan/perkakasan.Permit Kubur - biasanya bermula dari RM10 dan tidak lebih daripada RM50.Mandi Jenazah - bermula dari RM150 (dua orang). Tidak perlu bayar kalau waris muhrim melakukannya.Pengurusan Kubur, ini termasuk gali, tanam, papan lahat, permit - kos dianggarkan dari RM350 - RM450.Van Jenazah - bermula dari RM80 sehingga RM150 mengikut jarak ke tanah perkuburan.Bacaan Talkin/Tahlil - ia lebih kepada sumbangan ikhlas, bermula dari RM50 - RM100.Sedekah Imam Sholat Jenazah - RM50-RM100. Lebih afdal dilakukan oleh anak lelaki si mati, jadi tiada kos diperlukan.
Itu adalah kos yang selalu dan sering diambil kira dalam pengurusan jenazah. Ada kariah di sesetengah tempat yang mengenakan beberapa kos tambahan, contohnya:
Upah Sholat Jenazah (makmum) - kosnya antara RM10 - RM50 setiap orang.Kos Tambang/Minyak Kereta Jenazah - RM50 - RM100 untuk perjalanan pergi-balik.Upah Baca Yassin/Al Quran - RM10 - RM30 setiap orang. 


Maka secara kasarnya, kos pengurusan jenazah boleh mencecah sehingga RM1500 setiap seorang kematian. Dan kos pengurusan untuk jenazah kanak-kanak bawah 5 tahun biasanya separuh dari kos lelaki/perempuan dewasa.

Pernah viral di awal tahun 2015, di mana kos pengurusan jenazah mencecah sehingga RM4 ribu, dan diperbetulkan bahawa kos pengurusan adalah sebanyak RM2 ribu apabila melibatkan banyak kos-kos lain yang telah dipersetujui.

Bersiap-sedialah hadapi kematian yang pasti. Mungkin sesetengah orang tak ambil kisah pun mengenai perkara ini sebab pada fikiran mereka, apabila mati nanti .. orang yang hidup akan uruskan semua. Tapi bayangkan kalau kaum keluarga bukan dari golongan yang senang .. boleh parah jadinya.

Carum Dalam Insurans dan Khairiat Kematian

Untuk memudahkan, adalah disarankan untuk ambil insurans atau sertai mana-mana khairiat kematian di kawasan anda. Di kampung saya, ada skim khairiat kematian ini, yang perlu membayar setiap bulan sebanyak RM50. Apabila ahli meninggal dunia, segala kos ditanggung menerusi skim ini - walaupun jumlah wang khairiat disumbngkan si mati semasa hidupnya tak cukup tampung kos keseluruhan.

Saya harap artikel saya ini dapat memberikan panduan dan rujukan untuk semua, terutama umat Islam di Malaysia betapa pentingnya untuk ambil tahu mengenai kos pengurusan jenazah. Jika mati, biarlah yang ditinggalkan itu tidak disusahkan....cukuplah mereka bersedih dan berhati hiba kerana kematian anda.

No comments:

Post a Comment